🇲🇾 Estoril , Portugal | 8 Jun 2026 – Selepas mencuri perhatian pada penampilan sulungnya di pentas Moto4 European Cup 2026, Qabil Irfan Azlan kini bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar apabila turun beraksi pada Pusingan 2 di Litar Estoril, Portugal hujung minggu ini dengan misi memburu podium pertamanya musim ini. Cabaran di Estoril kali ini dijangka lebih getir apabila pasukan SIC-GRYD Racing tidak menjalani sebarang ujian persendirian di litar berkenaan, berbeza dengan kebanyakan pasukan lain yang sudah mengumpul data menerusi sesi ujian awal sebagai persiapan menghadapi perlumbaan.
Selain itu, tiada lagi sesi latihan tidak rasmi pada hari Khamis seperti kebiasaan sebelum ini, sekali gus menjadikan setiap sesi rasmi yang bermula Jumaat amat penting buat pasukan mendapatkan setup terbaik jentera buat Qabil. Lebih mencabar, saingan kali ini menyaksikan dua perlumbaan akan berlangsung pada Ahad iaitu Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 dengan setiap perlumbaan membabitkan 15 pusingan, menjadikan setiap mata kejuaraan yang ditawarkan cukup berharga.
Qabil membuktikan kemampuannya bersaing bersama pelumba Eropah apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di Barcelona, Catalunya pada kedudukan keempat, meskipun memulakan perlumbaan dari petak kelapan. Dalam perlumbaan yang berlangsung penuh sengit itu, Qabil mempamerkan kematangan luar biasa apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok hadapan sejak awal perlumbaan dan beberapa kali bertukar posisi dengan pencabar-pencabar utama kejuaraan. Lebih membanggakan, pelumba muda negara itu turut berjaya bersaing dalam kelompok podium sebelum terlepas peluang menaiki podium sebenar selepas pertarungan mendebarkan sehingga ke garisan penamat. Keputusan tersebut menyaksikan Qabil mengumpul 13 mata kejuaraan dan kini menghuni tangga keempat keseluruhan selepas pusingan pertama.
Prestasi memberangsangkan di Barcelona bukan sahaja memberikan keyakinan kepada pelumba kelahiran Terengganu itu, malah turut membuktikan bahawa Qabil mampu menyesuaikan diri dengan pantas dalam persekitaran baharu yang jauh lebih kompetitif berbanding saingan yang pernah diharunginya sebelum ini. Kini, fokus sepenuhnya terarah kepada Estoril, sebuah litar yang terkenal dengan kombinasi selekoh teknikal dan laluan lurus yang panjang, sekali gus menjanjikan satu lagi ujian penting buat pelumba muda negara itu. Sebelum ini, Qabil pernah mencuri perhatian apabila mencipta kemenangan di litar sama pada Pusingan Keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) tahun lalu.
Bagaimanapun, cabaran Moto4 European Cup dijangka lebih mencabar memandangkan kejuaraan itu menghimpunkan lebih 50 pelumba tetap daripada lebih 20 negara berbeza, selain turut disertai beberapa pelumba wildcard yang menjadikan saingan semakin sengit. Meskipun sedar cabaran yang menantinya, Qabil optimis pengalaman yang diperoleh di Barcelona mampu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membolehkannya tampil lebih kompetitif dan agresif di Portugal.
🇬🇧 Estoril, Portugal | 8 June 2026 – After catching the eye on his debut appearance in the 2026 Moto4 European Cup, Qabil Irfan Azlan is ready to take on an even greater challenge as he heads into Round 2 at the Estoril Circuit in Portugal this weekend with the aim of securing his first podium finish of the season. The challenge at Estoril is expected to be even tougher as SIC-GRYD Racing has not conducted any private testing at the circuit, unlike many other teams that have already gathered valuable data through pre-event test sessions in preparation for the race.
Adding to the challenge, there will be no unofficial practice sessions on Thursday as has often been the case in the past, making every official session from Friday onwards crucial for the team as they work to find the best possible set-up for Qabil’s machine. To make matters even more demanding, two races will be held on Sunday – Race 1 and Race 2 – with each race consisting of 15 laps, meaning every championship point on offer will be extremely valuable.
Qabil demonstrated his ability to compete against Europe’s best young riders by finishing fourth in the opening round at Barcelona-Catalunya despite starting from eighth on the grid. In a fiercely contested race, he displayed remarkable maturity by establishing himself among the front runners from the very beginning and exchanging positions several times with the championship’s leading contenders. Even more impressively, the young Malaysian rider spent time battling within the podium positions before narrowly missing out on a top-three finish after an intense fight right to the chequered flag. The result earned Qabil 13 championship points and leaves him fourth in the overall standings after the opening round.
His encouraging performance in Barcelona not only boosted the confidence of the Terengganu-born rider, but also proved that he is capable of adapting quickly to a new and far more competitive environment than any championship he has previously contested. His focus now shifts fully to Estoril, a circuit renowned for its combination of technical corners and long straights, which will provide another important test for the Malaysian youngster. Qabil has enjoyed success at Estoril before, having claimed victory at the same circuit during Round 6 of the Spanish Superbike Championship (ESBK) last year.
However, the Moto4 European Cup presents a much greater challenge, with the championship featuring more than 50 permanent riders from over 20 different countries, as well as several wildcard entrants that further increase the level of competition. Despite being fully aware of the challenge ahead, Qabil remains optimistic that the experience gained in Barcelona will allow him to be even more competitive and aggressive when he takes to the track in Portugal this weekend.

🇲🇾 “Pusingan pertama di Barcelona memberi banyak pengalaman baharu kepada saya. Saya dapat melihat sendiri bagaimana pelumba-pelumba Eropah berlumba dan bagaimana mereka menguruskan perlumbaan dalam kelompok yang sangat rapat. Saya belajar banyak perkara sepanjang hujung minggu tersebut. Setiap sesi memberikan pengajaran yang berbeza dan saya rasa pengalaman itu akan membantu saya untuk tampil lebih baik di Portugal nanti.
Bagi saya, salah satu perbezaan terbesar ialah pelumba-pelumba di sini sangat laju dan agresif. Mereka sentiasa memberikan tekanan dan tidak mudah melakukan kesilapan. Untuk pusingan di Portugal nanti, saya mahu menjadi lebih agresif berbanding sebelum ini. Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok hadapan dan cuba memburu kedudukan podium. Saya akan cuba memanfaatkan segala pengalaman yang diperoleh di Barcelona dan memberikan yang terbaik sepanjang hujung minggu perlumbaan nanti.”
🇬🇧 “Round 1 in Barcelona gave me a lot of new experience. I was able to see first-hand how the European riders race and how they manage a race when competing in such a closely packed group. I learned a great deal throughout the weekend. Every session taught me something different, and I believe those experiences will help me perform even better in Portugal.
For me, one of the biggest differences is that the riders here are extremely fast and aggressive. They are constantly applying pressure and rarely make mistakes. For the round in Portugal, I want to be more aggressive than I was before. My target is to stay with the leading group and challenge for a podium position. I will do my best to make full use of everything I learned in Barcelona and give my all throughout the race weekend.”

🇲🇾 “Qabil menunjukkan kematangan yang cukup baik untuk seorang pelumba berusia 14 tahun. Dia tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan jentera, pasukan dan juga tahap persaingan di Moto4 European Cup. Apa yang paling menggembirakan ialah Qabil bukan sekadar memberi saingan cukup sengit dalam kelompok hadapan, tetapi benar-benar bersaing untuk merebut kedudukan podium sehingga ke penghujung perlumbaan.
Itu adalah petanda yang sangat positif kerana ia menunjukkan Qabil mempunyai potensi yang besar untuk berkembang dengan lebih jauh. Sudah tentu masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan diperbaiki, namun kami gembira dengan kemajuan yang ditunjukkan setakat ini. Harapan saya, saya mahu Qabil memberi persembahan terbaik bermula sesi latihan dan rebut petak terbaik pada sesi kelayakan.”
🇬🇧 “Qabil has shown impressive maturity for a 14-year-old rider. He did not take long to adapt to the bike, the team and the level of competition in the Moto4 European Cup. What was most encouraging was that Qabil was not simply keeping pace with the leading group, but was genuinely fighting for a podium position right until the closing stages of the race.
That is a very positive sign because it shows that Qabil has tremendous potential to develop even further. Of course, there are still many areas where he can learn and improve, but we are pleased with the progress he has shown so far. My hope is to see Qabil deliver his best performance from the very first practice session and put himself in the strongest possible position during qualifying.”



Design & Developed by SENICODE SOLUTIONS SDN BHD