Guangzhou, China | 24 April 2026 – ZK Racing, selaku penganjur FIM MiniGP Malaysia sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2020, kini menjalinkan kerjasama bersama GuangZhou Conghua International Circuit (GCIC), selaku penganjur dan promoter FIM MotoMini China, menerusi Majlis Menandatangani Kerjasama Strategik bertempat di Guangzhou, China.
Kerjasama ini merangkumi usaha menaik taraf penganjuran FIM MotoMini China, khususnya dari aspek operasi teknikal serta pengurusan acara, sejajar dengan standard penganjuran MotoMini Malaysia yang telah membentuk asas kukuh dalam pelaksanaan serta pembangunan kejohanan.
Sepanjang pelaksanaannya, ZK Racing telah membuktikan peranannya dalam pembangunan pelumba akar umbi menerusi laluan pembangunan yang tersusun, termasuk melahirkan bakat-bakat muda yang berjaya menembusi pentas antarabangsa. Antara contoh kejayaan tersebut ialah perkembangan karier Hakim Danish dan Qabil Irfan, yang muncul sebagai antara pelumba muda berpotensi hasil laluan pembangunan melalui program MiniGP sebelum melangkah lebih jauh di peringkat antarabangsa.
Diperkenalkan pada tahun 2024 di China, MotoMini China menunjukkan perkembangan agresif dalam membentuk platform perlumbaan akar umbi, dengan menjadikan MotoMini Malaysia sebagai penanda aras dan rujukan dalam pembangunan program di China. Pengiktirafan ini sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap model pembangunan yang dibentuk ZK Racing, bukan sahaja dalam aspek penganjuran, malah dalam membina ekosistem pembangunan pelumba muda yang kompetitif.
Lebih menarik, pada Ogos ini, satu acara besar melibatkan lebih 100 pelumba dari seluruh rantau Asia iaitu OHVALE Guangzhou Cup akan dianjurkan, dengan pihak penganjur turut melibatkan ZK Racing sebagai perunding dalam aspek pengurusan dan teknikal bagi memastikan penganjuran bertaraf antarabangsa.
Kerjasama ini turut mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh pembangunan sukan permotoran peringkat akar umbi di rantau Asia, selain membuka ruang pertukaran kepakaran serta peningkatan standard penganjuran ke tahap lebih tinggi.

“GCIC melihat sendiri bagaimana program pembangunan pelumba akar umbi yang kami laksanakan menerusi MotoMini Malaysia mampu berfungsi sebagai satu platform yang kompetitif dan tersusun. Malah sebelum ini, kami telah menerima penyertaan pelumba dari China untuk berlumba di MotoMini Malaysia, dan itu memberi peluang kepada mereka menilai sendiri standard penganjuran serta pembangunan yang kita bentuk di sini.
Pada Mac lalu, pihak GCIC turut mengadakan lawatan ke pejabat urusan ZK Racing untuk melihat dengan lebih dekat struktur operasi, pengurusan serta model pembangunan yang kami jalankan. Daripada situ, lahir keyakinan untuk menjalinkan kerjasama ini.
Kami gembira apabila sebuah organisasi luar melihat dan mengiktiraf apa yang dibina di Malaysia, khususnya dalam pembangunan pelumba muda. Ini bukan sahaja satu penghormatan kepada ZK Racing, tetapi juga menunjukkan ekosistem pembangunan akar umbi negara kita mula mendapat perhatian di peringkat serantau.”

Design & Developed by SENICODE SOLUTIONS SDN BHD