QABIL IRFAN CEDERA SELEPAS TERJATUH DI SESI FREE PRACTICE 2 MOTO4 EUROPEAN CUP
Pelumba muda Malaysia, Qabil Irfan, terlibat dalam kemalangan ketika sesi Free Practice 2 (FP2) Moto4 European Cup yang berlangsung di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, semalam.
Kemalangan berlaku ketika Qabil terjatuh apabila melalui selekoh ke-5 menuju ke selokoh ke-6 dan pelumba dibelakang Qabil tidak sempat mengelak dan melanggar kaki Qabil.
Susulan kejadian itu, sesi FP2 dihentikan, manakala Qabil terus dibawa ke hospital berdekatan bersama wakil pasukan daripada MLAV Racing (MLAV) untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati Qabil mengalami patah tulang pada kaki kiri yang melibatkan tulang tibia dan fibula. Pihak hospital kemudian memberikan rawatan segera selepas mengesahkan keadaan Qabil adalah stabil.
Qabil seterusnya menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan tersebut dan selamat menjalani pembedahan selama kira-kira dua jam, yang selesai pada sekitar jam 7.00 pagi waktu Malaysia hari ini.
Ketika ini, Qabil masih berada di hospital dan terus dipantau oleh doktor sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia. Berdasarkan nasihat pihak perubatan, Qabil dijangka dibenarkan pulang selepas kira-kira lima hari, tertakluk kepada perkembangan keadaan kesihatannya.
Qabil kini ditemani oleh bapanya serta wakil pasukan MLAV, wakil ZK Racing dan Hakim Danish yang berada di hospital bagi memastikan segala keperluan dan kebajikannya sepanjang tempoh rawatan dapat diuruskan dengan baik.
Pihak MLAV Racing dan ZK Racing terus berhubung rapat bagi memastikan segala urusan rawatan Qabil berjalan lancar, selain mendapatkan perkembangan terkini daripada pihak doktor dan keluarga.
ZK Racing mendoakan agar Qabil terus diberikan kekuatan, menjalani proses pemulihan dengan baik dan kembali pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.
Sebarang perkembangan lanjut mengenai keadaan Qabil akan disampaikan oleh ZK Racing berdasarkan maklumat rasmi daripada pihak perubatan dan keluarga.




Design & Developed by SENICODE SOLUTIONS SDN BHD