Sepang, 22 Januari 2026 – ZK Racing Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan jalinan kerjasama strategik bersama Pro Apparel Asia, sebuah syarikat pengeluar pakaian sukan yang berpangkalan di Pulau Pinang, melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang berkuat kuasa bagi tempoh sehingga tamat tahun 2026.
Kerjasama ini merangkumi penyediaan pakaian secara menyeluruh, bukan sahaja untuk pelumba ZK Racing seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan, malah melibatkan keseluruhan staf pasukan. Di bawah perjanjian ini, Pro Apparel Asia dilantik sebagai pengeluar pakaian rasmi ZK Racing, termasuk pakaian rasmi pasukan, pakaian perjalanan (travel wear), serta pakaian kerja pasukan. Selain itu, Pro Apparel Asia turut diberikan hak rasmi bagi pengeluaran merchandise ZK Racing.
Dalam skop yang lebih luas, Pro Apparel Asia juga dilantik sebagai pengeluar pakaian rasmi bagi kejohanan MotoMini Malaysia, SIC Ohvale Junior Championship dan RCB MiniMoto Championship untuk tahun ini.
Pengarah ZK Racing Sdn. Bhd., Zulfahmi Khairuddin, menyambut baik kerjasama ini dan melihatnya sebagai satu langkah penting dalam pembangunan pasukan serta industri sukan permotoran tempatan. Usahasama ini turut memberi peluang kepada Pro Apparel Asia untuk memperluaskan jenama mereka dalam arena sukan permotoran, selari dengan komitmen kedua-dua pihak dalam menyokong pembangunan bakat muda serta pertumbuhan industri sukan dua roda di Malaysia.

“Kerjasama bersama Pro Apparel Asia ini amat kami alu-alukan sebagai rakan strategik ZK Racing. Ia bukan sahaja memperkukuhkan imej profesional pasukan, malah memastikan semua pelumba dan staf kami dilengkapi dengan pakaian berkualiti tinggi.
Pada masa yang sama, usahasama ini membuka peluang kepada peminat untuk memiliki merchandise rasmi ZK Racing serta edisi khas pelumba seperti Hakim Danish dan Qabil Irfan. Ini adalah satu langkah proaktif yang memberi nilai tambah kepada pasukan, rakan kerjasama dan komuniti peminat sukan permotoran secara keseluruhan.”

